4 Jan 2018

KONFLIK KEKELUARGAAN WAN HANAFI SU, AIDA KHALIDA



GABUNGAN lakonan mantap, jalan cerita menarik dan arahan pengarah drama berpengalaman, Murali Abdullah menjadikan tarikan utama dan kekuatan bagi telemovie terbaru yang bakal disiarkan RTM, 'Cerita Dari Dinding.

Lari daripada menonjolkan kisah konflik biasa yang berlaku dalam telemovie yang disiarkan sebelum ini, ikuti perjalanan kisah watak utama lelaki separuh usia bernama Jalil yang mempunyai impian besar untuk membahagiakan keluarga, isteri dan tiga orang anaknya. 

Dia menjanjikan segala kesenangan untuk anak-anak dan isterinya, Rohana. Namun sifat panas baran dan suka membesarkan diri kerap menggagalkan apa jua usaha malah pelbagai padah menimpa. 

Kekecewaan Jalil dilepaskan kepada Rohana, dan anak-anak. Rohana mencurahkan rasa hatinya ke dinding bilik tidur yang tersembunyi. Jalil kerap membalas luahan rasa Rohana itu di dinding yang sama. 

Rohana berusaha menyatukan keluarganya dan kerap menasihatkan suami dan anak-anak supaya mengingati Allah. Namun tiada siapa mengendahkannya kecuali Radzi. Panas baran Jalil meningkat, dia mengamuk di masjid dan di pejabat orang. 

Jalil kerap tidak ada di rumah. Rohana siang malam mengambil upah menjahit untuk menyokong pendapatan keluarga. 

Dalam keadaan kesunyian dan genting, Radzi, anak kesayangan Jalil dan Rohana, pulang ke rumah, meraung kecewa kerana putus cinta. Di tengah-tengah kesedihan itu, rahsia Jalil berkahwin selama 10 tahun dengan bekas pembantu kedainya, rakyat Indonesia, terbongkar.

Rohana pengsan. Dalam keadaan tertekan itu, Jalil diserang strok. Dalam keadaan kelam kabut itu terjumpa tulisan tulisan di dinding. Radzi terkedu.

Akhirnya setelah Jalil pulih dan Rohana sembuh dari rasa kecewa itu, Jalil menceritakan keadaan sebenar. Rohana sekeluarga gembira kerana Jalil bersedia untuk dipulihkan melalui rawatan psikiatri.



Cerita Dari Dinding
Tarikh Siaran: 6 Januari 2018
Hari: Sabtu
Masa: 3.05 petang
Saluran: TV1
Arahan: Murali Abdullah
Pelakon: Wan Hanafi Su dan Aida Khalida, Aedy Ashraff, Wan Raja, Sherrie Merlis, Raja Norbaizura dan Lina Banks

Tiada ulasan:

Catat Ulasan