21 Jan 2018

JODOH BOSS & ME



KISAH seorang bos yang kaya raya bertemu dan jatuh cinta dengan gadis biasa dan miskin, walaupun ia agak cliche ia masih mempunyai getaran sendiri yang menjadikannya unik dan istimewa. 

Plot cerita komedi romantis yang disulami kisah cinta tiga segi dan terdapat penampilan wanita kedua yang anda akan benci juga kedengaran biasa. Ditambah pula dengan masalah perniagaan atau isu keluarga yang turut diselitkan.

Justeru RTM tampil dengan drama Mandarin popular sekitar tahun 2014 adaptasi novel internet terkenal Gu Man bertajuk Boss & Me yang sedang bersiaran mengisi slot Golden Phoenix di TV2.

Bersiaran menemui penonton setiap Isnin hingga Jumaat, pukul 5.00 petang, anda pastinya teruja dengan kisah cinta antara bos dengan pekerjanya disebabkan pengorbanan yang pernah dilakukan wanita itu terhadap adiknya. 

Ia bercerita tentang seorang gadis muda bernama Xue Shan Shan lakonan Zhao Li Ying yang bekerja di sebuah perusahaan terkenal. Xue Shan Shan sangat menyukai makanan hingga membuat berat badannya semakin hari semakin bertambah. 




Sementara itu Feng Teng dibawakan wataknya oleh Zhang Han merupakan bos muda yang kaya raya. Dia memiliki seorang adik bernama Feng Yue yang memiliki darah jenis yang menyukarkannya menerima darah orang lain. Kebetulan Xue Shan Shan miliki jenis darah yang sama dengan Feng Yue.

Rasa terhutang budi dan ingin membalas segala kebaikan Xue Shan Shan yang telah mendermakan darahnya kepada Feng Yue, maka Feng Teng cuba untuk berbaik-baik dengan Xue Shan Shan. 

Dia mengambil keputusan menghantar makanan tengah hari kepada gadis itu setiap hari. Apatahlagi bila mengetahui nafsu makan Xue Shan Shan bertambah setelah menjalani proses derma darah tersebut.

Sejak itu setiap hari dia curi-curi memandang gelagat Xue Shan Shan yang sangat menikmati makanan. Tanpa disedari tindakannya itu membuatkan Feng Teng semakin hari mula menyukai Xue Shan Shan dalam diam. Gelagat Xue Shan Shan yang begitu comel dan bersahaja membuatkannya tertarik hari. 

Begitu pun malangnya dia takut untuk berterus-terang tentang perasaannya kepada Xue Shan Shan. Takut cintanya ditolak gadis itu.



Boss & Me
Bahasa: Mandarin
Episod: 33
Hari: Isnin hingga Jumaat
Masa: 5.00 petang
Saluran: TV2 (Slot Golden Phoenix)
Pelakon: Zhao Li Ying, Zhang Han dan lain-lain.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan