17 Jan 2018

BINTANG BERSAMA BINTANG 2018 BUKA TIRAI!


HIRUK pikuk di ruang tamu pada malam hujung minggu kembali bergema! Puncanya tidak lain tidak bukan adalah program realiti lawak Bintang Bersama Bintang 2018 yang membuka tirai pada Ahad lalu dengan siaran langsung yang ditayangkan di TV3. 

Bintang Bersama Bintang 2018 merupakan medan peperangan lawak era baharu dinamakan Arena Bintang Bersama Bintang yang dibarisi oleh nama-nama besar seperti Abam, Ajak, Issey, Mark Adam, Achey dan Shuk. 




Tiada penyingkiran dilakukan pada setiap minggu namun pemenang mingguan mendapat hadiah wang tunai berjumlah RM 10,000. Manakala, pada peringkat akhir iaitu Super Bintang Bersama Bintang, pemenang keseluruhan bakal membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM 100,000.

Bersiaran secara langsung dari Studio Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam pada setiap Ahad bermula 14 Januari 2018 pada pukul 10.00 malam, para peserta Bintang Bersama Bintang 2018 dibenarkan membawa seorang selebriti jemputan untuk mengambil bahagian dalam sketsa mereka.




Antara selebriti yang terlibat pada minggu ini adalah Fauziah Nawi bergandingan bersama Ajak, Sherry Alhadad bersama Issey, Mat Dan bersama Mark Adam, Bocil dan Achey, Nabila Razali bergabung tenaga bersama Shuk dan Ali Puteh berganding bahu bersamanya abangnya, Abam. Manakala Saiful Apek sebagai juri tetap tidak berseorangan, ditemani oleh finalis AJL32, Wany Hasrita.

Achey dan Bocil membuka Arena Bintang Bersama Bintang 2018 dengan mempersembahkan sketsa dengan hanya berbekalkan bantal, meja dan tikar. Achey yang juga pandai menyanyi berjaya mengubahsuai lirik lagu Tak Tahu Malu sehingga seluruh studio hingar dengan gelak tawa penonton.




Primadona masih berbisa! Itu yang dapat digambarkan mengenai persembahan pelakon versatil Fauziah Nawi dan Ajak dalam sketsa dan nyanyian mereka. Ternyata pengalaman dalam industri seni melebihi 30 tahun membuktikan lagenda seni tanah air ini masih mendapat tempat di hati peminat.

Persembahan peserta ketiga pada malam ini adalah gandingan Mark Adam dan Mat Dan yang menyanyikan lagu Blues Terengganu Kite nyanyian asal kumpulan Iklim. Duo unik ini juga berupaya membuahkan ‘punchline’ yang hebat bagi memberi saingan terhadap peserta-peserta BBB2018 lain.




Seterusnya, Shuk membawakan seorang gadis ayu yang namanya sering disebut-sebut sejak kebelakangan ini, Nabila Razali dengan mempersembahkan sketsa yang amat menghiburkan serta lagu yang menjadi siulan rata-rata pendengar radio di Malaysia, Pematah Hati dalam versi pecah perut.

Sherry Alhadad yang dijemput sebagai ‘sidekick’ Issey pada malam ini tidak melepaskan peluang memberikan 100 peratus komitmen dalam persembahannya yang sentiasa memukau. Tampil dengan parodi lagu Abang Nak Tegur nyanyian Dato’ Sri Aliff Syukri dan Nur Sajat, mereka juga berjaya menghiburkan penonton




Persembahan terakhir pada malam ini adalah daripada dua beradik, Abam dan Ali. Berkonsepkan lagu pop yeh yeh, mereka mempersembahkan lagu Selamat Tinggal Pujaan dan Mas Mona dan sketsa mengenai warga emas yang pastinya membuat penonton ketawa.

Para penonton Bintang Bersama Bintang 2018 boleh mengikuti perkembangan para peserta Bintang Bersama Bintang 2018 melalui Komik Bintang Bersama Bintang (BBB) pada setiap Ahad jam 6.00 petang di TV3. Komik BBB memaparkan aktiviti harian para peserta disamping persediaan mereka untuk mempersembahkan sketsa mingguan. Para penonton boleh memeriahkan media sosial dengan #BBB2018.



                               Bintang Bersama Bintang
Hari: Ahad
Masa: 10.00 Malam
Saluran: TV3 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan