11 Dis 2017

FOUZIAH GOUS BUKA RUMAH JAGAAN


SLOT Widuri yang menjanjikan tayangan drama bersiri kekeluargaan terbaik di Radio Televisyen Malaysia (RTM) ternyata mula mendapat tempat di hati penonton setia saluran RTM. Tambahan pula slot ini berkongsi kisah paparan realiti yang berlaku dalam masyarakat kita yang boleh dijadikan iktibar bersama.

Terbaru slot ini menampilkan drama 26 episod bertajuk Aku Di Sisimu yang mengangkat dilema dan pahit maung kehidupan yang dialami oleh seorang suri rumah setelah suaminya ditimpa kemalangan dan mengalami koma untuk tempoh yang panjang.

Ikuti kisah dilema yang dihadapi oleh Laila, seorang suri rumah setelah suaminya, Nasa terlibat dalam kemalangan jalan raya dan terus berada di dalam keadaan koma. Sarah menganggap Laila yang menjadi punca papanya kemalangan terus tidak bercakap dengan mamanya. 

Mira, jururawat yang bertugas di hospital tempat Nasa dirawat berjaya memujuk Sarah bercakap kembali dengan mamanya. Mira yang tidak mempunyai anak baru sahaja ditawarkan pemberhentian kerja secara ‘VSS’ bercadang menggunakan wang pampasan untuk menjalani rawatan ‘IVF’ tetapi ditegah oleh suaminya. 




Laila cuba bekerja tetapi terpaksa berhenti kerana tidak mampu memberi komitmen antara kerja, anak-anak dan suaminya. Bapa Laila yang bersimpati dengan Laila yang tidak bekerja telah menyerahkan geran tanah supaya Laila menjual tanah tersebut bagi menampung kos rawatan Nasa yang tinggi.

Di hospital yang sama En. Shukor yang menghidap kencing manis berada di bawah jagaan Mira. En. Shukor yang sudah boleh discaj tetapi tidak mahu pulang kerana dua orang anaknya Sajiah dan Suria tidak mampu menjaga dia dan asyik bergaduh. Dia yang mengetahui Mira menerima ‘VSS’ menyarankan supaya Mira membuka rumah jagaan pesakit kerana dia ingin terus dijagai oleh Mira. 

Laila yang mula bekerja terpaksa berkejar-kejar setiap hari untuk menguruskan anak-anak, menyiapkan kerja di pejabat yang menimbun dan menjenguk suami di hospital. Mira yang bersimpati dengan Laila mengajak dia minum di kantin dan berbual-bual. 

Mira memberitahu dia bercadang membuka rumah jagaan pesakit kepada Laila tetapi tidak cukup modal kerana kosnya tinggi. Laila bersetuju untuk menjadi rakan kongsi lalu menghantar surat perletakan jawatan setelah mendapat sokongan daripada ayahnya.




Laila dan Mira mula membuat perancangan untuk memulakan rumah jagaan pesakit. Mereka meninjau harga peralatan yang bakal dibeli dan Laila agak terkejut kerana harganya begitu mahal tetapi tidak bagi Mira. Mereka juga turut mencari rumah sewa untuk dijadikan tempatnya. 

Pada mulanya Mira telah mendapat tiga orang pesakit selain daripada Nasa yang bakal menghuni rumah jagaan mereka tetapi disebabkan oleh berbagai perkara mereka kehilangan kesemuanya. Walau bagaimanapun En. Shukor akhirnya kembali menjadi pesakit mereka. Rumah jagaan pesakit yang dirancang itu telah dinamakan Rumah Seri Pagi dan nama ini diberikan oleh Faris, anak Laila.

Rumah Seri Pagi telah beroperasi dengan tiga orang pesakit iaitu Nasa, En. Shukor dan Rozali atau Zali. Zali menjadi lumpuh selepas bermain ragbi. ZaAku Di Sisimuadannya lemah. 

Dari sini bermula segala dugaan dan cabaran yang mereka alami dari pelbagai pihak sehingga mereka menjadi kuat untuk menghadapi segalanya.


Aku Di Sisimu
Episod: 26
Hari: Jumaat-Ahad
Masa: 7.00 Petang
Saluran: TV1 (Slot Widuri)
Pelakon: Fouziah Gous, Natasha Elyzza, Haeryanto Hassan, Azhan Rani, Fariz Isqandar, Wan Rania dan Hilal Azman

Tiada ulasan:

Catat Komen