25 Dis 2017

ETNISITI, DEKATI ETINIK DI SABAH, SARAWAK


ETNISITI merujuk kepada rasa kekitaan sesuatu kumpulan etnik tertentu. Hal ini bererti wujudnya satu kebudayaan atau sub budaya yang jelas yang menyatukan anggotanya dengan satu sejarah, nilai, sikap dan tingkah laku yang sama.

Menerusi program terbaharu bertajuk 'Etnisiti' yang disiarkan RTM mulai 7 Disember ini, penonton dibawa menjelajah ke setiap negeri di Malaysia untuk menemui kaum-kaum etnik tertentu di kawasan halaman masing-masing. 

Menampilkan gandingan hos Sean Lee dan Jaslin Puasa, fokus program 13 episod ini tertumpu kepada kepelbagaian etnik di Sarawak dan Sabah. 

Pengisian program meninjau, memerhatikan dan cuba memahami cara hidup, aktiviti ekonomi dan budaya komuniti ini melalui ‘experiential learning’ iaitu dengan menginap di tempat mereka dan mengambil bahagian dalam aktiviti harian. Penonton diberi penjelasan mengenai pelbagai aspek kehidupan masyarakat etnik ini.





Kumpulan etnik di Sarawak mempunyai bahasa, kebudayaan, dan cara kehidupan yang tersendiri. Etnik di Sarawak terbahagi mengikut kawasan penempatan seperti persisiran pantai, lembah sungai, daerah pendalaman, dan kawasan tanah tinggi. Kawasan yang paling padat dengan penduduk ialah di dataran pantai, lembah sungai di bahagian barat Kuching, dan kawasan antara Sungai Kayan dengan Sungai Mukah.

Corak penempatan dan taburan penduduk yang berselerak di Sarawak menyebabkan mereka tidak banyak berhubung dengan orang luar. Keadaan ini mendorong setiap kelompok etnik membentuk identiti kebudayaan masing-masing mengikut persekitarannya.

Antara yang ditonjolkan iaitu mengenai kaum Kelabit di Sarawak. Mereka memberi penerangan mengenai aktiviti ekonomi, budaya, makanan dan cara hidup kaum ini. Pendedahan mengenai kaum etnik ini sebagai salah satu kaum pribumi negara ini dibuat melalui penyertaan secara langsung dalam aktiviti seharian seperti menanam padi Bario, memasak sayur tengayan dan pucuk ubi kayu, makan bersama-sama dan penglibatan dalam aktiviti kebudayaan iaitu tarian muzik diiringi dengan muzik sape serta memakai rantai yang diperbuat daripada manik. 

Kunjungan di Kg. Long Beruang bandar Bario meninjau cara hidup komuniti etnik Penan. Mereka tinggal di rumah kampung dan mengambil bahagian dalam aktiviti memburu dalam hutan pada waktu siang dan malam untuk makanan. 




Selain dari itu mereka belajar memasak makanan tradisi dengan ubi kayu. Penonton diberi penerangan mengenai aktiviti ekonomi tradisional dan budaya orang Penan serta bagaimana mereka sedang melalui proses perubahan dari satu komuniti yang bergantung kepada hasil hutan kepada satu yang bercucuk tanam sendiri.

Seterusnya berkenalan dengan masyarakat Kaum Kayan atau Dayak yang menetap di kawasan itu. Kaum ini lebih gemar dipanggil Orang Ulu. Hos rancangan telah disambut dengan tarian tradisional. Mereka juga telah menyertai aktiviti harian kaum Kayan seperti menangkap udang dan pembikinan alat muzik ‘sape’, penyediaan jerat pijak dan masakan tapai. 

Di Mukah Sarawak, melihat cara hidup kaum etnik Melanau di Kampung Petanak. Kaum ini suka menetap di kawasan paya bakau berhampiran dengan Laut Cina Selatan. 

Hos menjelajah ke Kampung Mongkos, Serian, Sarawak untuk meninjau budaya, cara hidup dan aktiviti ekonomi kaum etnik Bidayuh. Kaum etnik ini merupakan yang kedua terbesar di Sarawak dan menginap di kawasan Barat Daya, Sarawak seperti Serian, Kuching dan Kalimantan Barat. 

Episod seterusnya Jaslin Puasa dan Sean Lee, mengunjungi satu-satunya Rumah Panjang kaum etnik Bidayuh Salako di Kampung Pueh, Semantan, Sarawak. Mereka disambut dengan tarian ‘toh-toh’ dan bermalam di rumah panjang. 

Mereka telah mengambil bahagian dalam sebahagian aktiviti harian orang kampung. Ikuti juga perkongsian cara hidup kaum Iban iaitu kaum etnik yang terbesar di negeri ini. Mereka disambut secara tradisional oleh penduduk Kampung Sg Menyan yang terletak 35 minit dari jeti di Bandar Sibu. 




Mengujakan pastinya kunjungan di Pulau Mabul di Sabah meninjau kehidupan kaum Bajau Laut melihat sebahagian dari aktiviti harian orang laut ini. Di antara lain aktiviti yang telah disaksikan ialah menembak atau memanah ikan dengan menggunakan peralatan khas, membuat perahu, muzik dan tarian tradisional seperti ‘Igal-Igal’ dan makanan seperti ‘putu ubi kayu yang dimakan dengan ‘gamat’. Mereka juga sempat melihat kanak-kanak menghadiri sekolah-sekolah ko-kurikulum yang dijalankan secara sukarela oleh NGO bagi golongan yang miskin.

Masih di Sabah ada episod mereka mengunjungi kaum Rungus di Kampung Mempilis, Sabah. Kaum ini terdiri daripada penganut agama Islam dan Kristian. Kaum etnik ini terkenal bagi kemahiran kraft tangan terutamanya membuat gong. 

Seterusnya di Kampung Pirasan di Kota Belud, Sabah untuk meninjau kehidupan kaum etnik Bajau Sama iaitu salah satu suku kaum Bajau Darat. Di kampung ini, mereka telah menyaksika tarian dan muzik tradisional kaum ini. 

Kunjungan di Kampung Merampong di Keningau, Sabah meninjau cara hidup kaum etnik Kadasandusun. Mereka telah berkongsi dengan penonton beberapa aspek kehidupan kaum etnik ini seperti aktiviti pertanian, kebudayaan dan ekonomi. Manakala di Kampung Sugiang Tengah, Kemabong, Sabah untuk meninjau cara hidup kaum etnik Murut. Mereka disambut oleh ketua kampung dengan persembahan Tarian Lansaran.



Etnisiti
Episod:13
Hari: Khamis
Masa: 4.30 petang
Saluran: TV1 
Pengacara: Jaslin Puasa & Sean Lee

Tiada ulasan:

Catat Ulasan