27 Dis 2017

DERITA PESAKIT PSIKOPAT


PERNAHKAH anda mendengar penyakit ‘psikopat’? Realitinya penghidap penyakit ini wujud di persekitaran kita. Seringkali kita mendengar istilah psikopat atau mengatakan seseorang memiliki keperibadian psiko. Sebenarnya apakah yang dimaksud dengan psikopat atau psiko? 

Antara ciri-ciri perilaku termasuklah antisosial, tidak memiliki rasa simpati, dan tindakannya begitu berani hingga adakalanya tidak terkawal. Ciri psikopat yang lainnya adalah tidak rasa bersalah jika melakukan kesalahan, termasuk melakukan tindakan jenayah.

Cuba memberi pendedahan kepada masyarakat tentang wujud dan bahayanya penyakitnya ini, RTM membawakan telemovie bertajuk 'Psikopat' pada 29 Disember ini, pukul 9.30 malam mengisi slot Citra di TV2.

Ia mengangkat kisah seorang wanita bernama Syirin yang menghadapi perbicaraan di mahkamah atas tuduhan membunuh suaminya. 

Dia cuba sedaya upaya menegakkan kebenaran membela dirinya di mahkamah dengan menyatakan bahawa suaminya, Amirul ialah seorang yang menghadapi gangguan mental. Dia telah melepaskan perasaannya dengan mendera Syirin secara fizikal. 

Malah pada masa sama  juga memukul Syirin dengan tali pinggang dan mengancamnya dengan mengacukan pisau. Tindakan Syirin untuk mempertahankan dirinya dengan menggunakan kayu golf  tanpa diduga telah mengakibatkan kematian Amirul secara tidak sengaja. 

Isteri pertama Amirul bernama Marlia, seorang peguam, tidak dapat terima bahawa suaminya ialah seorang pesakit jiwa dan penyiksa wanita. Dia ingin tahu kisah sebenarnya suaminya terbunuh dan menyiasat perkara ini dan menemui beberapa orang yang mengenali suaminya termasuk Syirin dan Ramly, rakan suaminya. 

Apa yang mengejutkan, Marlia  mendapat tahu dari mereka bahawa dia sendiri merupakan punca arwah suaminya mengalami gangguan mental dan tekanan jiwa. Dia sedar bahawa sikap dan layanannya pada Amirul juga telah menyebabkan Amirul mencari wanita lain dan akhirnya membawa kepada kematiannya.

Begitupun masihkah ada ruang untuk Syirin membela diri sekaligus terlepas daripada tuduhan membunuh secara sengaja? Bagaimana pula situasi Marlia berdepan kenyataan dirinya merupakan penyebab suaminya menjadi psiko? 


Psikopat
Tarikh Siaran: 28 Disember 2017
Hari: Khamis
Masa: 9.30 malam
Saluran: TV2 
Pengarah: Fairuz Loy
Pelakon: Aida Aris, Kenny Ong, El Faeza Ul Haq, Azhan Rani dan Janet Khoo


Tiada ulasan:

Catat Ulasan