2 Dis 2017

8 PERKARA PERLU DIKETAHUI TENTANG TAHFIZ MUDA 2017



PROGRAM realiti Islamik kanak-kanak, Tahfiz Muda kini kembali di musim kedua serta melebarkan sayapnya di peringkat Nusantara dengan penglibatan peserta dari Indonesia. 

Musim ini memperlihatkan 12 tahfiz muda berumur dalam lingkungan 5 hingga 12 tahun dari serata pelusuk Malaysia dan Indonesia berjaya mendapat tempat sebagai peserta.

NOTA RINGKAS TAHFIZ MUDA 2017

Merupakan sebuah program realiti yang menguji dan mencungkil kemahiran kanak-kanak terhadap kebolehan mereka dalam menghafaz kitab suci Al-Quran.

Mengangkat tema ‘Quranku, Sahabatku’, program yang bakal bersiaran selama tujuh minggu ini akan membawa penonton untuk menghayati Al-Quran sebagai panduan dan cahaya dalam hidup sekali gus menambahkan lagi ketaqwaan umat Islam kepada Allah SWT agar lebih gigih berusaha untuk memahami Al-Quran dan mengamalkannya dalam kehidupan seharian.

Sesi ujibakat telah diadakan pada bulan September dan Oktober lalu di Kuala Lumpur yang mana menyaksikan kehadiran hampir 400 peserta dari Malaysia dan Indonesia yang mewakili negara-negara Nusantara. Jumlah peserta untuk musim ini meningkat kepada 12 orang berbanding 10 orang pada musim terdahulu. Mereka terdiri daripada 6 peserta lelaki dan 6 peserta perempuan.

12 peserta tersebut adalah Naufal Haris Mohd Rizal (11 tahun, Johor), Muhammad Mikail Muhammad Lukman (8 tahun, Bangi), Gema Rasya Kaka Wiratama (9 tahun, Indonesia), Arif Nur Aiman Ahdin (11 tahun, Sabah), Mior Muhammad Hafizuddin Mir Idris (10 tahun, Kuala Lumpur), Siti Aisyah Firdaus (7 tahun, Selangor), Syauqiyah Firdaus Shahfuddin (10 tahun, Selangor), Nurul Syazliana Ayob (10 tahun, Pahang), Fatimah Az-Zahra Muwafik (5 tahun, Indonesia), Nur Khodijah Sohaimi (10 tahun, Selangor), Amna Nafisa Malik (8 tahun, Kuala Lumpur) dan Muhammad Fawwaz Mohd Farhan (11 tahun, Selangor).

Untuk musim ini, program Tahfiz Muda 2017 akan diadili sepenuhnya oleh empat orang juri iaitu Ustaz PU Hafiz dan Ustaz Don Daniyal sebagai ‘Hakim Munabbih (Hafazan)’, Ustazah Sharifah sebagai ‘Hakim Tilawah & Taranum’ serta Ustaz Zambri sebagai ‘Hakim Tajwid’.

Program ini juga sekali lagi akan menampilkan Imam Muda Asyraf sebagai Pengacara untuk musim ini.

Istimewanya lagi, program ini turut menampilkan seorang pelakon dan pengacara wanita popular tanah air, Elfira Loy, yang bakal menggalas tugas ‘Pengacara Rehal’ bergandingan bersama Imam Muda Asyraf.

Bagi memeriahkan lagi musim kali ini, kami akan turut mengekalkan karakter animasi bernama ‘Adam’. Adam akan membuat penampilan diantara segmen dalam episod Persada Tahfiz Muda untuk berkongsi beberapa tips dan trivia menarik mengenai Al-Quran.


Ahmad Fuad Mat Ali, Pengurus Saluran Astro Oasis
“Pada musim kedua Tahfiz Muda ini, kami menemui ramai bakat cilik yang memiliki bakat besar dalam menghafaz Al-Quran dan memenuhi kriteria yang ditetapkan. Melihat akan sambutan positif ini, kami menambah jumlah peserta musim ini kepada 12 orang berbanding 10 orang pada musim yang lalu.   
Memandangkan program ini masih lagi baru dalam kalangan penonton, kami masih mengekalkan format program seperti musim terdahulu dimana para peserta mempersembahkan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran dan seterusnya dinilai oleh barisan juri. Kami berharap inisiatif yang diambil untuk terus menghidupkan budaya cinta dan hafaz Al-Quran dalam diri anak kecil terus mendapat sokongan padu daripada semua pihak. 
Secara kesimpulannya, kami sendiri berasa amat berbesar hati kerana dapat menyediakan peluang kepada golongan kanak-kanak menerusi platform yang kami miliki untuk mereka mengasah dan mengembangkan bakat dalam hafazan, agar menjadi ikutan semua.” 


RINGKASAN FORMAT PROGRAM

Setiap minggu, peserta akan menempuhi cabaran dan tema yang berbeza. Para peserta dikehendaki menghafal surah-surah yang terkandung di dalam juzuk ke-30 (Juz Amma) dan beberapa surah pilihan. Mereka akan dinilai daripada segi kelancaran hafazan, ketepatan tajwid, kreativiti bacaan (tarannum), keterampilan dan personaliti, pengetahuan asas fardu ‘ain serta idea kreatif persembahan.

Semasa mengadili peserta pada persembahan mingguan, barisan juri boleh menyoal peserta perkara berkaitan dengan surah yang dialunkan seperti teknik bacaan dan cerita di sebalik surah tersebut. Meraka juga boleh menanyakan soalan umum seperti kisah para Nabi dan sahabat serta soalan berkaitan fardu ‘ain. 

Dalam beberapa persembahan pentas, peserta akan dicabar sama ada oleh barisan juri, Ikon Islamik jemputan mahupun penonton untuk menyempurnakan bacaan surah yang dipilih secara rawak oleh mereka. 

Pemarkahan dibuat sepenuhnya oleh barisan juri dan peserta dengan jumlah markah terendah pada penghujung program akan disingkirkan pada minggu tersebut.


HADIAH KEMENANGAN

Juara - RM 10,000.00 dan sebuah trofi
Naib Juara - RM 7,000.00 dan sebuah trofi
Tempat Ketiga - RM 5,000.00 dan sebuah trofi
Tempat Keempat - RM 3,000.00 dan sebuah trofi


PENAJA DAN MEDIA RASMI

Tahfiz Muda 2017 ditaja oleh Almas Beauty & Health Sdn Bhd.
Radio Zayan dan THR Gegar hadir sebagai ‘Sahabat Radio Tahfiz’.
Astro Circle sebagai ‘Sahabat Tahfiz’ dan Gempak sebagai ‘Sahabat Digital Rasmi’, manakala Raku sebagai ‘Sahabat Radio Digital’.


IKUTI BERITA TERKINI TAHFIZ MUDA MUSIM KEDUA

  tahfizmuda.com.my
  @MySalamMuslim 
  facebook.com/salammuslim
  #TahfizMuda


PROGRAM  SISIPAN ‘TAHFIZ MUDA 2017’


Cahaya Tahfiz Muda (Sesi Ujibakat)
Selasa, 12 Disember 2017, 9.30 – 10.00 malam
Saksikan gelagat para peserta ujibakat Tahfiz Muda musim kedua serta komen-komen menarik barisan juri terhadap mereka. Terdapat juga klip-klip temubual calon peserta bersama dengan keluarga, rakan-rakan dan guru mereka.

Mukadimah Tahfiz Muda (Pengenalan Program)
Rabu, 13 Disember 2017, jam 9.30 - 10.00 malam
Mukadimah Tahfiz Muda akan membawa penonton melihat belakang tabir sesi fotografi barisan juri dan peserta serta suasana di sekitar Majlis Sidang Media dan Pelancaran Tahfiz Muda musim kedua.

Rehal Tahfiz Muda (Diari Harian)
Setiap Selasa & Rabu mulai 19 Disember 2017, jam 9.30 - 9.45 malam
Ikuti perjalanan harian para peserta dalam membuat persiapan sebelum persembahan mingguan. Dengarkan juga komen mengenai peserta daripada guru, rakan-rakan dan keluarga mereka.

Persada Tahfiz Muda (Persembahan Mingguan)
Setiap Khamis mulai 14 Disember 2017, jam 9.00 - 10.30 malam
Para peserta Tahfiz Muda akan membuat persembahan berdasarkan tugasan yang diberi. Barisan juri akan memberi komen dan markah terhadap setiap persembahan. Peserta dengan markah terendah akan disingkirkan pada setiap minggu.



Tahfiz Muda 2017
Episod:13
Hari: Khamis
Masa: 9.00 Malam
Saluran: Astro Oasis (106) dan serentak di Maya HD (135) 
Pengacara: Imam Muda Asyraf

Tiada ulasan:

Catat Komen