2 Nov 2017

'SEKALI DENGAR MELEKAT', TEMA MINGGU KEDUA KONSERT GV4


KONSERT Gegar Vaganza musim keempat (GV4) di minggu pertama bertemakan ‘Masihkan Kau Ingat’ Ahad lalu membuka tirai dengan persembahan 12 bintang yang memukau. 

Sebahagian besar daripada mereka terutamanya bintang senior yang berpengalaman luas berjaya memberikan persembahan yang tidak perlu dipertikaikan sehingga mendapat perhatian pihak juri yang terdiri daripada Datuk Ramli MS, Hetty Koes Endang, dan Profesor Datuk Cef Wan.

Pada konsert minggu pembukaan itu, Aishah memukau penonton dengan vokal yang cukup mantap meskipun menyanyi secara bersahaja apabila beliau membawakan lagu keramatnya Janji Manismu sehingga mendapat ‘standing ovation’ daripada Ibu Hetty sebaik persembahan tamat. Persembahan itu sekali gus meletakkan Aishah di tangga pertama dengan markah keseluruhan 96 peratus. 

Bintang dari Indonesia, Firman turut menonjol dengan persembahan mantap apabila beliau tampil dengan membuat susunan baru terhadap lagu keramatnya, Kehilangan. Penghayatannya mendapat pujian juri dan berjaya menduduki tempat kedua dengan markah 91 peratus. 

Tempat ketiga dengan markah 90 peratus menjadi milik Hazami yang turut mempamerkan vokal cemerlang dengan lagu Mungkir Bahagia sekaligus memberi saingan yang cukup sengit kepada peserta lain. 

Sementara itu, Elyana pula dinobatkan sebagai pemenang ‘Bintang Paling Menyengat’ pada minggu tersebut.

Konsert Gegar Vaganza di minggu kedua bakal mengangkat tema ‘Sekali Dengar, Melekat!’ yang mana setiap bintang GV4 diberi cabaran untuk menyanyikan lagu-lagu yang mengingatkan mereka kepada memori pahit manis yang pernah berlaku dalam kehidupan mereka.

Untuk pusingan ini, Firman bakal menyanyikan lagu Rindu Serindu-Rindunya yang pernah dipopularkan oleh Kumpulan Spoon suatu ketika dahulu. Hazami pula dengan lagu Setengah Mati Merindu (Judika), Lan Kristal dengan Karam (Zabarjad), Tia Jinbara dengan Cenderawasih (Kris), Ferhad dengan Harus Terpisah (Cakra Khan) dan Aqasha dengan Aku (Jamal Abdillah).

Manakala bintang wanita Aishah pula akan membawakan lagu hits Diva Pop Malaysia, Ziana Zain berjudul Dingin, Liza Hanim dengan lagu Aku Hanya Pendatang (Fransisca Peter), Elyana dengan Masih Cinta (Kotak), Syura dengan Ku Pendam Sebuah Duka (Khadijah Ibrahim), Haida dengan Gubahan Rindu Puisi Syahdu (Fauziah Latiff) dan Raja Azura dengan Apa Yang Ku Cari (Endang S. Taurina).

Siaran Langsung Konsert GV4 untuk minggu kedua akan berlangsung  pada 5 November 2017, jam 8.00 malam di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan