25 Feb 2017

MIRA FILZAH DI LAMAR ABANG TIRI


AFNAN Tasneem (Mira Filzah) menjalani latihan praktikal di bawah seliaan Dr. Syed Nadzhan (Aliff Aziz) yang dianggap sebagai seorang doktor yang amat garang dalam kalangan rakan sekerjanya. Syed Nadzhan membesar tanpa kasih sayang seorang ibu telah menganggap bahawa kaum wanita amat menyusahkan. 

Penerimaan Afnan Tasneem sebagai pelajar praktikal oleh Syed Nadzhan turut mengejutkan sepupunya, Mastura (Aishah Ilias) yang bekerja di situ kerana Syed Nadzhan tidak pernah menerima calon perempuan sebelum ini. 

Seperti jangkaan ramai, tempoh praktikal Afnan Tasneem sangat sukar dan mencabar. Syed Nadzhan bukan sahaja memberi pelbagai arahan kepadanya malah Tasneem juga tidak diberikan tunjuk ajar. Tasneem akan dimarahi dengan teruk walaupun kesilapan yang kecil dan tidak disengajakan. 




‘Drama’ antara mereka berdua berlanjutan apabila ibu Afnan Tasneem iaitu Farah Diba (Fiza Halim) berkahwin dengan ayah Syed Nadzhan, Syed Irham (Badrul Muhayat). Sejak itu, Tasneem dan Nazhan sering bertengkar dan saling menyakat di rumah dan tempat kerja. Tasneem sering mengadu tentang Syed Nadzhan kepada rakannya, Adam Naufal (Redza Rosli).

Tasneem sedih apabila terpaksa berpisah dengan ibunya yang akan mengikut Syed Irham ke Jepun selama tiga minggu atas urusan kerja. Sebelum berlepas ke Jepun, Syed Irham telah memberi amanah kepada Nadzhan untuk sentiasa menjaga dan melindungi Tasneem. 




Malangnya, Syed Irham dan Farah Diba terkorban dalam kejadian tanah runtuh di Jepun. Selepas pengebumian mereka, Nadzhan telah mengambil keputusan untuk memutuskan pertunangannya aturan  dengan Aleesya (Jaja Illiyes DFKL) dan menyuarakan hajatnya untuk berkahwin dengan Tasneem.

Meh, Sandar Pada Aku adalah drama bersiri 20 episod terbitan Zeel Production Sdn Bhd di bawah arahan saudara Emi Suffian dengan membariskan pelakon - pelakon popular seperti Aliff Aziz, Mira Filzah, Redza Rosli, Aishah Ilias, Jaja Illiyes DFKL, Raja Ema, Azri Iskandar, Fiza Halim, Badrul Muhayat dan Nada Syuhada.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan