12 Feb 2017

JEJAK SERIBU KAKI, MISI DEKORASI KEDIAMAN GOLONGAN KURANG BERKEMAMPUAN


MENGHULURKAN sumbangan atau bantuan kepada golongan yang memerlukan bukan sahaja dalam bentuk kewangan sebaliknya mungkin sahaja berbentuk seperti barangan keperluan atau apa sahaja yang mampu menggembirakan hati si penerimanya. Pastinya mereka berbesar hati menerima bantuan tersebut.

Justeru kelainan ditonjolkan program dekorasi Jejak Seribu Kaki (JSK) yang berkonsepkan dekorasi rumah orang kurang berkemampuan. Ia nyata berbeza dengan pendekatan yang dilakukan dalam menyalurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan sebelum ini kerana memberi sumbangan kepada golongan yang tidak mampu daripada segi dekorasi rumah kediaman mereka. 

Menjalani penggambaran di sekitar Shah Alam, Kelantan dan Kuala Lumpur, pengacara program ini iaitu Yana Samsudin nyata sangat gembira dan teruja dengan peluang yang diberikan kerana dapat membuat kerja kebajikan dalam membantu orang susah. 

Apatah lagi apabila dapat menunaikan impian selepas mendengar rintihan dan kesedihan yang dialami mereka. Antara aktiviti yang dilakukan termasuklah mengubahsuai dalaman rumah dengan memberi sofa baharu, set televisyen dan mengecat rumah. 

Antara episod menarik apabila Yana Samsudin meluangkan masa pergi ke Seksyen U 14 di sekitar Shah Alam menemui Che Md Isa Ahmad, seorang duda lumpuh kaki yang menyara hidup dengan enam orang anak. Beliau mempunyai rumah sendiri tetapi buruk. Beliau membuat alat-alat besi seperti parang untuk menyara kehidupan. Krew JSK membaikpulih rumah Isa Ahmad dengan mengecat, membelikan sofa dan meja makan yang baharu. 

Selain itu Yana Samsudin dan krew JSK turut melawat sebuah rumah anak yatim iaitu Al-Taqwa di Bandar Nusaputra. Yana sempat berbincang mengenai pengalaman pemilik rumah anak yatim itu Puan Norhayati Binti Wan Abib. Hos membuat cadangan untuk memperbaiki keadaan dalaman rumah anak yatim itu. Beberapa peralatan ditukar tempat dan diperhiaskan. Para penghuni suka dan gembira dengan keadaan baharu itu.

Ikuti juga episod Yana Samsudin berjumpa dengan Khatijah seorang bekas bintang filem yang tinggal berseorangan. Beliau mempunyai saudara mara tetapi mereka duduk jauh. Yana bincang dengan beliau dan bantu menghiaskan ruang sembayang di rumahnya. Krew JSK mengecat bilik sembahyang, tukar gambar-gambar di dinding dan permaidani lantai. Visual juga menunjukkan perbezaan antara keadaan lama dan baru.


Jejak Seribu Kaki
Episod:13
Hari: Selasa
Masa: 2.30 petang
Saluran: TV1 
Terbitan: Dark Wave Pictures
Pengacara: Yana Samsudin

Tiada ulasan:

Catat Ulasan