21 Feb 2017

BELAHAN JIWA NABILA HUDA


PELBAGAI cara penjagaan selepas bersalin termasuklah amalan dan pemakanan dalam berpantang mengikut bangsa, namun kita biasanya hanya mendapat pendedahan mengikut tradisi orang Melayu di mana ibu-ibu yang baru bersalin menghabiskan 44 hari tempoh berpantang dengan menggunakan herba-herba, rempah dan minyak untuk membolehkan mereka sembuh dan segar sepenuhnya. 

Hakikatnya amalan berpantang dengan cara yang tersendiri juga turut diamalkan dan menjadi tradisi turun-temurun bangsa lain yang tinggal di negara kita. Program Belahan Jiwa berkongsi tentang masakan dalam berpantang mengikut pelbagai kaum antaranya masyarakat Portugis, Bugis, Jawa, Baba Nyonya, kaum Semai, dan kaum Ceti. 

Program 13 episod ini tampil dengan tiga segmen padat dengan informasi iaitu segmen ‘9 Bulan 9 Hari’, Masakan dan Tradisi. 

Dalam segmen ‘9 bulan 9 hari’ mengupas isu tertentu bersama pakar perubatan undangan yang akan membincangkan tentang masalah kehamilan, cara hidup ibu bapa dan kesannya terhadap kehamilan, kesuburan dan cara-cara rawatan, cara hidup dan pemakanan pasangan serta persediaan hamil, jenis-jenis penyakit yang selalu dihidapi oleh wanita mengandung, rutin perubatan bagi wanita sedang mengandung, masalah perdarahan semasa mengandung, masalah keguguran semasa mengandung dan pencegahannya, tanda-tanda hendak bersalin dan persediaan menghadapi saat hendak bersalin. 

Dilengkapkan dengan segmen kedua iaitu masakan untuk wanita lepas bersalin antaranya cara penyediaan menu masakan ala Portugis, masakan daun turi dan air rebusan rempah periuk, masakan orang Bugis, cara memasak air pegaga, ikan talang masin berempah, ikan bilis sangai dan jus sireh, masakan masyarakat ceti iaitu ikan yu masak berempah, asam rebus ikan tenggiri untuk wanita selepas mengalami keguguran, masak sayur air cara masyarakat jawa, ayam halia oleh masyarakat Baba dan Nyonya, masakan tumis ikan bilis berhalia juga ikan panggang dalam daun pisang. 

Sebagai penutup segmen tradisi berkaitan tentang amalan pemakaian bengkung untuk wanita lepas bersalin, cara menghilangkan bentan bagi wanita selepas bersalin, cara membuat dan memakai pilis, tradisi - bersangai iaitu berdiri di atas asap dengan tujuan mengeluarkan peluh, cara bertangas untuk wanita selepas bersalin, cara melenggang perut mengikut masyarakat Jawa, rebusan mandian untuk wanita selepas bersalin, mengurut wanita selepas keguguran, cara menjaga wanita dalam pantang cara masyarakat Jawa, menunjukkan bertungku, Kaum Banjar makan duduk bersimpuh dan urut pada dahi dan cuping telinga, bertungku cara masyarakat Jawa dan majlis cukur jambul.



Belahan Jiwa
Episod: 13
Hari: Jumaat
Masa: 11.30 pagi
Saluran: TVi (Astro 180) 
Pengacara: Nabila Huda

Tiada ulasan:

Catat Ulasan