3 Jan 2017

SISI KELAM PENGHIDAP HIV POSITIF


SLOT Tribute P.Ramlee di TV1  sempena tahun baharu 2017 ini mengajak penonton menghayati perjalanan kisah hidup sisi kelam seorang penghidap HIV positif dalam menjalani kehidupan seharian.

Plot kisahnya mengetengahkan kesukaran watak Zaleha yang membesarkan Dahlia dengan penuh kasih sayang walaupun terpaksa membanting tulang. Dahlia gagal dalam persekolahan dan bekerja di sebuah pusat membeli-belah di pekan. 

Tanpa disedari Zaleha, Dahlia berkenalan dengan Arman, seorang penagih dadah. Beberapa bulan selepas berkenalan, Dahlia turut terjebak dengan dadah. Apa yang berlaku tidak diketahui oleh Zaleha. Bimbang dengan hubungan baik Dahlia dan Arman, Zaleha mendesak Dahlia berkahwin dengan Arman.




Beberapa bulan perkahwinan Dahlia dan Arman, barulah Zaleha sedar yang mereka berdua terlibat dengan dadah, lalu menghalau mereka berdua. Dahlia dan Arman lari ke bandar dan menjadi penagih tegar. Perkahwinan Dahlia dan Arman dikurniakan seorang zuriat, Amira.

Enam tahun kemudian. Arman ditangkap pihak berkuasa ketika sedang mengedar dadah dan dijatuhkan hukuman gantung sampai mati. Ketika menjalani rawatan di penjara, Arman disahkan menghidapi virus HIV. 

Dahlia tersentak dengan apa yang berlaku. Dia bimbang turut menghidapi virus HIV dan kebimbangan Dahlia terbukti apabila ketika dia mendapat rawatan di klinik kerana demam, dia turut disahkan menghidapi HIV.




Kehidupan Dahlia mula berubah. Melihat Amira begitu setia menjaganya, perasaan Dahlia makin sebak. Terutama ketika dia dalam keadaan gian, Amira tetap menemaninya dan membersih segala muntah Dahlia.

Menyedari hidupnya tidak lama kerana gagal mendapat rawatan sempurna, Dahlia akhirnya nekad membawa Amira pulang ke kampung untuk meminta bantuan Zaleha menjaganya. Zaleha terkedu, sebak dan marah dengan kepulangan Dahlia selepas 6 tahun meninggalkannya. Zaleha memang kecewa dengan sikap Dahlia. Namun sebagai ibu, dia amat merindui anak tunggalnya itu.

Keinsafan yang datang memberi kekuatan kepada Dahlia. Dia cuba menjalani kehidupan seperti biasa walaupun uzur. Setiap hari Dahlia mengajar Amira mengaji walaupun pada mulanya Amira enggan. Bagaimanapun apabila Dahlia memberitahu hasratnya mahu Amira mengaji untuknya apabila dia meninggal nanti, Amira mula tekun mengaji.




Zaleha mengesyaki sesuatu apabila melihat Dahlia banyak menangis. Akhirnya Dahlia berterus terang dengan Zaleha tentang penderitaannya dan hasratnya supaya Zaleha menjaga Amira. Zaleha terkasima. 

Dengan sisa-sisa yang ada, Zaleha tabah mengharungi kehidupan. Setiap kali dia menjaja kuih, air mata Zaleha tumpah sepanjang jalan dan menarik perhatian Kamariah. Kamariah cuba membantu tetapi Zaleha tetap menyimpan rahsia.

Dahlia kemudiannya meninggal dunia. Keadaan menjadi gempar apabila orang kampung telah tahu Dahlia menghidapi virus HIV. Jualan kuih Zaleha mula tidak laku. Amira mula dipandang sinis.



Putih Kemboja
Tarikh Siaran: 7 Januari 2017
Hari: Sabtu
Masa: 9.00 Malam
Saluran: TV1 (Slot Tribute P. Ramlee)
Pelakon: Fauziah Nawi, Sura Sojangi, Hafiz Halim, Adik Qistina, Ezrin Loy

Tiada ulasan:

Catat Ulasan