30 Jan 2017

SHARIFAH AMANI, FROM FRANCE TO ITALY



SEBUAH program kembara pelancongan yang berkos rendah dan bebas serta aktiviti backpacking seolah menjadi trend masa kini. Kebiasaannya backpacking dilakukan oleh mereka yang sukakan cabaran. Malah ia juga kerana golongan ini ingin merasai destinasi sebenar dan bukannya hanya percutian semata-mata.

Justeru sebagai berkongsi aktiviti mencabar ini, RTM menyiarkan program travelog From France to Italy yang memaparkan perjalanan pelakon terkenal, Sharifah Amani ke beberapa destinasi menarik di negara Perancis dan Itali. 

Program ini berkongsi tempat yang jarang diketahui oleh pelancong dari Malaysia kerana kurang mendapat pendedahan di media masa.

Setiap episod memaparkan keunikan setiap tempat yang dijelajahi dalam perjalanannya ke setiap destinasi selama sebulan. Perjalanan Amani bermula sebaik sahaja tiba di lapangan terbang Nice di Perancis.

Lokasi seterusnya, Saint Tropez yang terkenal sebagai bandar pelabuhan kapal layar. Kemudiannya singgah ke Cannes, sebuah bandar yang menghimpun bintang-bintang filem terkenal hampir setiap tahun dalam Festival Filem Cannes, antara festival filem paling berprestij di dunia. 

Selesai di kawasan French Riviera, perjalanan diteruskan ke Utara Perancis iaitu kawasan pinggir gunung. Diikuti Chamonix, lokasi yang tak patut dilepaskan di mana Amani berpeluang menaiki kereta kebel meninjau keindahan kawasan tersebut. 

Berhampiran Chamonix, ada sebuah lagi bandar yang berada di kaki pergunungan Alps iaitu Morzine yang juga menawarkan pelbagai aktiviti menarik yang boleh dilakukan. Begitu juga dengan Cinque Terre sebuah lokasi yang mempunyai lima buah kampung di mana yang setiap satu dihubungkan dengan menaiki keretapi.

Lokasi seterusnya, Amani menuju ke Lake Como. Kawasan yang mempunyai tasik yang luas dengan perkampungan yang tenang dan unik. Semestinya kota Romeo dan Juliet, bandar Verona adalah lokasi wajib yang harus disinggahi. 

Lokasi terakhir kembara Amani adalah ke kota cinta, Venice. Lokasi yang paling lama Amani menghabiskan masa untuk menyelongkar keindahannya. Hampir seminggu Amani berada di sini sahaja selain Murano, iaitu pulau yang terkenal sebagai pengeluar barangan kaca terkenal dunia.



From France To Italy
Episod:13
Hari: Sabtu
Masa: 2.30 petang
Saluran: TV1 
Pengacara: Sharifah Amani

Tiada ulasan:

Catat Ulasan