16 Jan 2017

MIA DAN KHUZAIRI BERTEMU DENGAN PEMINAT


BARU-BARU ini, hampir 5 juta penonton telah ‘dijangkiti wabak demam’ drama 7 Hari Mencintaiku. Bagi meraikan kejayaan drama bersiri terbaik TV3 tahun 2016,  sebuah sesi beramah mesra bersama barisan pelakon telah dianjurkan khas buat 10 orang pemenang bertuah peraduan media sosial.

Sesi ramah mesra yang berlangsung di The Terrace Restaurant, The Royale Bintang, The Curve ini juga merupakan sebuah malam penghargaan kepada semua pihak yang berjaya menjadikan drama ini sebagai sebuah fenomena hebat di Malaysia. 




Antara barisan pelakon yang akan memeriahkan lagi acara ini ialah Shukri Yahaya, Siti Saleha, Syazwan Zulkifli, Wan Sharmila, adik Mohd. Arif Abdullah, Liza Abdullah, Jaja Illiyes DFKL, Faye Kusairi dan Rosnah Johari.

Drama bersiri 28 episod arahan Jamal Khan dan terbitan Pena Creative Pictures Sdn. Bhd. ini telah menjadi ‘kegilaan’ orang ramai sejak disiarkan pada 7 November 2016 menerusi slot Akasia, setiap hari Isnin hingga Khamis pada pukul 6.58 petang.




Menurut Pengurus Besar, Kumpulan Pengurusan Penjenamaan dan Rancangan TV3 & TV9, Puan Siti Nurlisia Mohd. Nadzri, 

“Kami amat berbangga dengan kejayaan yang dicapai melalui drama ini. Alhamdulillah, Rating drama ‘7 Hari Mencintaiku’ berjaya mendahului rekod rating tertinggi bagi drama-drama lain yang pernah bersiaran di TV3 sebelum ini seperti ‘Nur Kasih’ dan juga ‘Love You Mr. Arrogant’. 
Rating terkumpul untuk semua episod drama ini berjumlah 12 juta penonton dan rating untuk satu jam siaran dari pukul 6.58 malam sehingga 8 malam pada episod akhir telah mencecah 5 juta penonton. 
Selain berjaya memecahkan rekod rating drama TV3, ‘7 Hari Mencintaiku’ juga telah berjaya menusuk jiwa orang ramai dengan babak-babak yang mengharukan sehingga menjadi tular di laman media sosial. 
Kami ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua peminat yang tidak pernah berhenti untuk memberi sokongan kepada drama bersiri ini. Insya-Allah kami akan terus menyajikan drama-drama bersiri yang menarik dan berkualiti tinggi untuk penonton-penonton setia drama TV3.”





7 Hari Mencintaiku juga telah menjadi topik perbualan yang hangat di laman sosial Twitter setiap kali bersiaran di kaca televisyen apabila berjaya memonopoli takhta trending nombor satu di Malaysia dengan kata kunci #7HariMencintaiku.

Lebih menarik lagi, bukan watak Mia dan Khuzairi sahaja yang berjaya menjadi tumpuan orang ramai. Salah satu babak drama yang amat menyedihkan sehingga berjaya menjadi trending di laman sosial seperti Facebook, Twitter dan Instagram adalah apabila watak Buntat (adik Mohd Ariff) meninggal dunia ketika dia cuba untuk menyelamatkan Mia daripada dipukul oleh Khalil (Engku Hariz). Tambahan lagi, watak Pak Samad (Aman Graseka)  juga hangat diperkatakan sehingga menjadi idola kegilaan ramai wanita.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan