24 Jan 2017

ESTRANGED BIKIN KONSERT DI JOHOR BAHRU


ESTRANGED mempunyai pengalaman cukup luas dalam bidang muzik, apatah lagi aktif melakukan persembahan live sejak lebih 10 tahun lalu. Bagi mereka, persembahan yang dipamerkan dalam bentuk live adalah satu rutin seni yang tidak pernah akan mati dalam jiwa pemuzik seperti mereka.

Jika sebelum ini Rich, Din dan Hanafi berjaya dengan siri jelajah kampus mereka, kali ini sayap mereka terus dilebarkan lagi dengan sebuah konsert jelajah yang akan mendarat di Selatan tanah air.

Memilih Johor sebagai lokasi jelajah terkini memetakan muzik mereka, Estranged menyifatkan perjalanan yang dilalui menjelang tahun 2017 adalah satu revolusi muzik dan prinsip kumpulan tersebut yang semakin matang.

"Banyak ilmu dan perkara yang kami belajar dan kutip sepanjang lebih 10 tahun menghuni belantika muzik tempatan. 
"Kami mendaki dengan perlahan, mempercaturkan karya yang sesuai pasaran, memenangi beberapa anugerah, membikin karya yang bersifat peribadi dan komersial serta perlu peka selain bersaing dengan banyak band baharu, namun semuanya dilalui dengan baik. 
"Ya, walaupun berdepan dengan banyak cabaran termasuk dari segi kemurungan pasaran muzik tempatan, namun Estranged belum mengalah. Kami percaya dengan kekuatan karya dan semangat yang tidak pernah putus daripada Estranged dan peminat-peminat, mudah-mudahan kami akan dapat terus terbang tinggi. 
"Tempoh lebih sedekad ini juga telah mematangkan Estranged dalam banyak segi dan itu yang akan bakal diperoleh peminat lama serta kelompok peminat baharu kami pada persembahan atau karya-karya akan datang dari Estranged," ujar Rich menyimpulkan ringkas mengenai jatuh bangun Estranged dan hala tuju mereka selepas ini.



Melabelkan persembahan tersebut dengan jenama Konsert Estranged Sepenuhnya Vol 1. sebanyak 1,500 tiket akan dijual pada harga RM25.

Turut serta memanaskan panggung sebelum Estranged mempersembahkan peluru seni hebat mereka ialah Velvet yang akan menawan peminat dengan gemersik vokalnya.

Tentu sahaja untaian lagu yang bakal dipersembahkan akan merangkumi hit dari album perdana mereka, In Hating Memory sehingga Sepenuhnya Vol. 1.

Aurora, Itu Kamu atau Hancur Aku akan menjadi halwa telinga peminat yang bakal didendangkan secara live, adalah sesuatu yang tidak patut dilepaskan.

Sebenarnya, mereka mempunyai misi besar selepas menawan peminat di Johor pada Februari depan. Malah, negeri tersebut dipilih sebagai lokasi konsert sulung pada tahun 2017 adalah bertepatan untuk menghimpunkan peminat mereka daripada Melaka dan Singapura sekali gus.

"Besar harapan kami agar konsert ini mencapai sukses dan menjadi pemula yang baik untuk Estranged melakukan lebih banyak persembahan dalam skala besar pada masa akan datang," jelas Estranged mengenai konsert yang menerima tajaan daripada Power Root dan Drum Asia.



Konsert Estranged Sepenuhnya, Vol. 1
Tarikh: 3 Februari 2017
Hari: Jumaat
Masa: 8.30 Malam
Lokasi: Kilang Bateri, Johor Bahru
Tiket: RM25 (www.estrangedtour.com)


Tiada ulasan:

Catat Ulasan