23 Jan 2017

BICARA BIOLA BUAT GADIS PEKAK DAN BISU


BIAR Biola Berbicara yang disiarkan menerusi Slot Tribute P. Ramlee mengisahkan tentang seorang gadis, Melati  yang dilahirkan pekak dan bisu. Dia kematian ibu sejak 10 tahun lalu dan dibesarkan oleh ayahnya, Hisham. 

Melati sering mengikuti Hisham bermain biola di jalanan dalam usaha menyara kehidupan mereka. Setiap kali melakukan persembahan, Hisham akan memainkan lagu kegemarannya Tiada Kata Secantik Bahasa. Justeru, emosi dan gerak jemari Hisham mengalunkan lagu tersebut sudah sinonim dengan Melati.





Walaupun pekak dan bisu, Melati bersekolah di Kelas Khas di salah sebuah sekolah harian biasa. Perasaan rendah diri Melati makin ketara apabila melihat Izreen, rakan satu sekolahnya yang menjadi perhatian pelajar kerana kehebatannya bermain piano. 

Dalam waktu yang sama, Haikal yang baru balik dari luar negara dan pernah menjadi pemuzik jalanan di sana, masih meneruskan minatnya sebagai pemuzik jalanan walaupun sudah bekerja di syarikat milik ayahnya, Datuk Ghazlan. 







Minat Haikal ditentang oleh ibunya, Datin Rohani kerana bimbang reputasi syarikat akan jatuh. Namun Haikal tetap dengan minatnya, menyebabkan hubungan Haikal dengan Datin Rohani sentiasa tegang.

Bermula perkenalan Hisham, Melati dan Haikal. Hisham mengharapkan dengan perkenalan tersebut Melati dapat lari dari kekangan rasa rendah diri, namun terjadi sebaliknya. Melati tidak lagi menemani Hisham bermain muzik, sebaliknya bersendirian di rumah. 





Ini menyebabkan Melati semakin kebosanan. Manakala Haikal pula rasa bersalah. Kerana dia bermain muzik bersama Hisham menyebabkan Melati makin jauh dengan Hisham.

Hubungan Haikal dengan Datin Rohani semakin tegang sehingga Datin Rohani memberi amaran jika Haikal masih lagi berminat menjadi pemuzik jalanan, dia mahu Haikal berhenti kerja. Haikal menyambut cabaran tersebut menyebabkan Datin Rohani makin tertekan.

Satu hari Datin Rohani mengekori Haikal bermain muzik. Datin Rohani terkejut apabila melihat Haikal bersama Hisham. Dalam waktu yang sama, Hisham juga terkasima melihat Datin Rohani. 



Biar Biola Berbicara
Tarikh Siaran: 28 Januari 2017
Hari: Sabtu
Masa: 9.00 Malam
Saluran: TV1 (Slot Tribute P. Ramlee)
Pengarah: Rashid Sibir
Pelakon: Tasha Shila, Nasir Bilal Khan, Nadzmi Adhwa, Jasmin Hamid, Ako Mustapha, Mak Nani

Tiada ulasan:

Catat Ulasan